Tuesday, September 2, 2014


HADIS PENAWAR HATI



1 Pengorbanan Ibu Bapa Tidak Ternilai
 
Daripada Abu Hurairah RA katanya, sabda Rasulullah SAW, “Tidak terbalas jasa seorang anak terhadap orang tuanya melainkan apabila dia mendapati orang tuanya menjadi hamba, lalu dibeli dan dimerdekakannya”. 
 

2 Silaturahim Memanjangkan Umur dan Murah Rezeki
 
Daripada Anas RA bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda, “Sesiapa yang suka diluaskan rezeki dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia mengeratkan silaturahim”. 
 

3 Kedamaian Asas Kebahagian Rumahtangga
Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Tidak boleh seseorang mukmin lelaki membenci terhadap seseorang mukminah perempuan. Jika dia tidak suka suatu kelakuannya (boleh jadi) dia suka perbuatan yang lain atau perbuatan yang lain daripada yang dibencinya itu”. 

4 Haram Mengkhianati Sesama Islam
Daripada Abu Hurairah katanya, sabda Rasulullah SAW, ”Seorang Muslim adalah saudara kepada muslim yang lain, dia tidak harus mengkhianatinya, mendustakan atau mendustainya, tidak juga membiarkannya (tanpa menolong atau melindunginya). Menjadi kewajipan antara orang Islam menjaga kehormatan, harta dan darahnya. Taqwa adalah di sini (sambil mengisyaratkan kedadanya). Sudah cukup seseorang itu untuk dianggap jahat sekiranya dia menghina saudaranya sesama Islam.” 

5 Sebaik-baik Sahabat dan Jiran
 
Daripada ‘Abdullah R.huma katanya, sabda Rasulullah SAW, “Sebaik-baik sahabat disisi Allah ialah yang terbaik hubungannya dengan sahabatnya dan sebaik-baik jiran disisi Allah ialah yang terbaik hubungannya dengan jiran tetanggannya”.
 
 

6 Berbelanja di Jalan Allah
 
Daripada Abu Abdullah (dikatakan Abu Abdul Rahman) Tsauban bin Bujdad hamba yang dimerdekakan Rasulullah SAW katanya, sabda Rasulullah SAW, “Sebaik-baik wang yang dibelanjakan oleh seseorang ialah wang yang dibelanjakan untuk menyara keluarganya, wang yang dibelanjakan untuk binatang tunggangan pada jalan Allah dan wang yang dibelanjakan untuk kawan-kawannya di jalan Allah”. 
 
 

7 Amalan Membawa ke Syurga
 
Daripada Abu Ayyub Khalid bin Zaid al-Ansori RA: Bahawasanya seorang lelaki berkata “ Wahai Rasulullah, beritahu daku tentang amalan yang membolehkan aku masuk ke syurga”. Jawab Rasulullah, “Beribadatlah kepada Allah, janganlah menyekutukan dengan sesuatu, dirikan sembahyang, keluarkan zakat dan eratkan hubungan silaturahim”. 
 

8 Adab Bertamu
 
Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Janganlah kamu datang ke rumah orang berhadapan pintunya, tetapi datanglah dari bahagian tepinya dan mintalah izin, jika diizinkan untuk kamu, masuklah, kalau tidak, baliklah."
 

9 Kelebihan Memberi Makan (Berbuka) kepada Orang yang Berpuasa
 
Daripada Zaid bin Khalid RA daripada Nabi SAW sabdanya, “Sesiapa yang memberi makan (berbuka) kepada orang yang berpuasa, ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan pahala orang yang berpuasa itu tidak berkurangan walau sedikit pun”.
 
 

10 Hiasilah Hari Raya Dengan Takbir
Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: Hiasilah hari-hari raya kamu dengan bertakbir.

11 Menghidupkan 10 Malam Lailatul Qadar
Daripada  Aisyah RA katanya, “Kebiasaan Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh malam yang terakhir (malam yang kedua puluh satu hingga tiga puluh daripada bulan Ramadhan) baginda menghidupkan malam-malam tersebut , dan bersungguh dalam melakukan ibadat serta menjerut tali pinggangnya.”

12 Terlupa Ketika Puasa
 
Daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW sabdanya : Apabila seseorang kamu lupa daripada berpuasa lalu ia makan atau minum maka hendaklah ia meneruskan puasanya, sesungguhnya Allah berkehendak memberi makan kepadanya.
 
 

13 Menjaga Tingkah laku di Bulan Ramadhan
 
Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda : “Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau diajak bermusuhan, maka hendaklah ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa hari ini”.
 
 

14 Puasa Boleh Menghapuskan Dosa
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda; Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu.

15 Hikmah Menyegerakan Berbuka Puasa
 
Daripada Sahl bin Sa’d RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Orang yang menyegerakan berbuka puasa setelah masuk waktunya akan mendapat kebaikan yang berterusan”.
 
 

16 Mencari Malam Lailatul Qadar
 
Daripada Aishah RA katanya bahawa Rasulullah SAW bersungguh-sungguh beribadat dalam bulan Ramadhan, maka dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain. Baginda juga akan menambahkan amal ibadatnya lebih daripada biasa apabila sampai sepuluh hari yang terakhir daripada bulan Ramadhan, sedangkan di hari-hari yang sebelumnya Baginda tidak berbuat demikian.
 

17 Kewajipan Membayar Zakat di Bulan Ramadhan
 
Daripada Abu Ayyub RA bahawa ada seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW : Beritahulah kepadaku akan sesuatu amalan yang dapat memasukkan aku ke dalam syurga lalu Baginda pun bersabda : Hendaklah engkau menyembah Allah dan jangan sekali-kali engkau menyekutukan dengan sesuatu yang lain, tunaikanlah sembahyang, keluarkanlah zakat dan eratkanlah hubungan persaudaraan di antara kamu semua (sesama Islam).
 

18 Sedekah di Bulan Ramadhan
 
Daripada Ibn Abbas RA katanya, bahawa Rasulullah SAW adalah seorang yang sangat pemurah kepada orang lain, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan ketika Baginda didatangi oleh Jibril AS, Jibril datang berjumpa Baginda pada setiap malam lalu mengajar al-Quran kepada Baginda. Sesungguhnya Baginda bersifat pemurah dengan bersegera melakukan kebaikan umpama angin bertiup kencang.
 
 

19 Digalakkan Bersahur
 
Daripada Amru bin al-As RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Perbezaan di antara puasa umat Islam dengan puasa ahli kitab (yahudi dan nasrani) itu ialah dengan makan sahur”.
 
 

20 Kelebihan Mengerjakan Ibadat ketika Bulan Ramadhan
 
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : Sesiapa yang mengerjakan sembahyang sunat tarawikh dan ibadat-ibadat yang lain pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan untuk mendapat keredhaan Allah, maka akan diampunkan dosa-dosanya (dosa kecil) yang telah lepas.

No comments:

Post a Comment